Sekolah
Menengah Agama (P) Al Mashoor mula diasaskan atas kesedaran segolongan
bangsa Arab di Pulau Pinang yang bimbang akan anak-anak yang kurang
mendapat didikan agama. Pada tahun 1916 bersamaan tahun 1335H, suatu
mesyuarat telah diadakan khusus mengenai penubuhan sebuah sekolah
agama. Dengan usaha gigih dan semangat kerjasama semua pihak maka
tertubuhlah sebuah sekolah agama yang dikenali dengan nama Madrasah
Al-Quran di Lebuh Acheen (Masjid Melayu Pulau Pinang) dengan guru
pertamanya Al-Syed Abdul Rahman Alhabshee dan guru besar pertamanya
Al-Syed Al-Shaikh Al-Hadi. Madrasah ini terus mendapat sokongan yang
menggalakkan dan pada tahun 1918 telah berpindah ke kawasan yang lebih
besar di Kampung Jawa Lama, dengan nama Madrasah Al Mashoor Al-Islamiah
sempena nama Tuan HAbib Al Mashoor, seorang penghulu yang terkenal di
Pulau Pinang pada masa itu.
Sebuah
jawatankuasa binaan telah ditubuhkan dan mereka telah bekerja keras
untuk penubuhan sekolah baru. Waris-waris Almarhum Tuan K.M.S Sultan
Alaudin mewakafkan sekeping tanah dan rumah di Jalan Lunas bagi tapak
sekolah perempuan. Pada tahun 1979 Kementerian Pelajaran telah
mengambil alih Madrasah Al Mashoor lelaki dan perempuan dan telah
mendirikan sebuah bangunan baru di Jalan Air Itam untuk pelajar lelaki.
Selepas tiga tahun kerajaan mengambil alih SMKA (P) Al Mashoor, ada
cadangan untuk membina bangunan baru bagi menggantikan bangunan lama
yang telah uzur dan tidak dapat menampung bilangan pelajar yang semakin
bertambah. Sementara menanti bangunan baru siap, pelajar-pelajar telah
menumpang di SMKA (L) Al Mashoor dari tahun 1982 hingga tahun 1984.
Pada bulan Oktober 1984 para pelajar perempuan mula berpindah ke
bangunan baru dan tersergamlah bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan
Agama (Perempuan) Al Mashoor di Medan Lim Cheng Teik, Pulau Pinang.

No comments:
Post a Comment